29 Jun 2011

BERAKHIRNYA PERTANDINGAN MAHARAJA LAWAK


                                                               

Gelanggang Maharaja Lawak telah pun melabuhkan tirainya pada hari jumaat yang lepas. Pastinya umum sudah mengetahui peserta yang menjuarai pertandingan lawak jenaka yang menimbulkan fenomena ini. Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai paling lumayan itu dimenangi trio dari Kulai, Johor iaitu kumpulan Sepah. Secara umumnya kumpulan yang diterajui tiga anak muda ini telah menunjukkan persembahan lawak yang konsisten dan menghiburkan bermula dari episod pertama lagi. Oleh itu, apabila tiba ketika kumpulan sepah diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak, penulis sedikit pun tidak berasa pelik dan terkejut dengan pengumuman rasmi itu. Kumpulan Sepah sememangnya layak dinobatkan selaku juara Maharaja Lawak yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini. Tempat kedua pula dimenangi kumpulan Jozan, tempat ketiga Nabil dan tempat keempat kumpulan Jambu. Apa-apa, pun penulis ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada kumpulan Sepah, Jozan, Jambu dan Nabil kerana mara ke peringkat akhir dan berjaya menghiburkan penonton dan peminat seluruh Malaysia sepanjang program itu berlangsung. Tidak lupa juga kepada peserta-peserta yang tersingkir awal, penulis ucapkan semoga sukses dan selamat maju jaya.

Dikhabarkan sambutan hangat penonton untuk program ini dikatakan mengatasi 'rating' progam realiti termasyur Astro iaitu Akademi Fantasia walaupun ia siarkan di saluran Warna (132). Cuma di sini, Penulis agak sedikit kecewa kerana program ini disiarkan di saluran Warna dan tidak dikekalkan di saluran Prima (105) seperti mana di minggu pertama dan kedua program itu. Penulis menjangkakan sambutan penonton dan 'rating' yang lebih besar sekiranya ia kekal disiarkan di saluran Prima. Bagi penulis, tidak semua orang mampu untuk melanggan dan menambah pakej Astro lalu sesetengah orang mengambil keputusan untuk hanya menontonnya di restoran, menumpang di rumah saudara-mara dan ada juga yang menontonnya di laman perkongsian video Youtube. Apa-apa pun, itu adalah hak mutlak Astro dan barangkali juga, ia sebahagian daripada strategi pemasaran dari pihak televisyen swasta yang paling berjaya itu sendiri (ASTRO). Diharap Astro dapat menerbitkan lagi rancangan-rancangan yang berkualiti tinggi dan dapat melahirkan ramai lagi anak seni yang disegani umum pada masa-masa akan datang.

SOALAN: BAGAIMANA PULA SAMBUTANNYA JIKA PROGRAM YANG MEMPERTANDINGKAN JUARA-JUARA AKADEMI FANTASIA?



Penulis: Fryd Rwsly

26 Jun 2011

MENUJU OLIMPIK LONDON 2012 ...

 

Rasanya belum terlambat untuk kita mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan Skuad Olimpik Malaysia yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Olimpik setelah menewaskan Lubnan 2-1 tempoh hari. Pastinya seluruh rakyat Malaysia berasa bangga dan berbesar hati dengan kejayaan yang julung-julung kali kita kecapi ini. Berdasarkan rekod, Malaysia pernah dua kali layak ke Olimpik dalam acara bola sepak iaitu pada tahun 1972 dan 1980. Pastinya pusingan akhir yang bakal dilangsungkan pada bulan September nanti akan dimanfaatkan sepunuhnya oleh anak buah Ong Kim Swee. Inilah medan sebenar untuk menguji kekuatan pasukan Malaysia yang akan beraksi dengan pasukan-pasukan yang lebih hebat dan kuat seperti Korea Selatan, Jepun, Australia dan sebagainya. Imej yang tercalar sekian lama sedikit sebanyak telah terubat yang mana kita berjaya menempatkan diri antara 12 pasukan bawah 23 tahun terbaik di Asia. Tahniah sekali lagi kepada pemain, penyokong, Ultras Malaya, barisan kejurulatihan dan semua rakyat Malaysia. Tahniah!

SOALAN: ADAKAH ANDA YAKIN PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA MAMPU LAYAK KE PERTANDINGAN PIALA DUNIA?


Penulis: Fryd Rwsly